MELAKA – Padah mencederakan bekas kekasihnya dan seorang lagi wanita pada bulan lalu, seorang lelaki dijatuhkan hukuman enam tahun enam bulan penjara serta satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Syazwan Mohd. Nasir, 26, yang mengaku bersalah sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas kekasihnya, Nurshafiqa Zulhainan, 23, menggunakan pisau.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga denda atau sebatan.
Manakala bagi pertuduhan kedua, pekerja syarikat pembekal itu didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap Siti Nur Hidayah Samdin, 25, iaitu rakan kepada bekas kekasihnya dengan menggunakan pisau.
Kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.20 petang 29 Julai lalu di Jalan Tun Sri Lanang dalam daerah Melaka Tengah.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah menyesal dan memohon maaf kepada mangsa serta keluarga rakan bekas kekasihnya.
Tertuduh juga merayu kenderaan yang dirampas dikembalikan kepada keluarganya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira kecederaan parah yang dialami mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama serta dua tahun dan enam bulan bagi pertuduhan kedua.
Nariman bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada 30 Julai dan mengarahkan kenderaan yang dirampas dipulangkan semula kepada keluarga tertuduh.
Pada 29 Julai lalu MalaysiaGazette melaporkan polis Melaka sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai menikam bekas kekasihnya selain turut mencederakan rakannya di kawasan kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang.
Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka pertengahan Julai lalu. – MalaysiaGazette