Empat buah rumah berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu, Melaka malam tadi.

MELAKA – Empat buah rumah berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, semua enam penghuni rumah separa kayu itu berusia antara 30-an hingga 60-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran sebuah rumah di kawasan itu pada jam 10.34 malam.

Zulkhairani Ramli

Menurutnya, tiga jentera dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Melaka Tengah dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, didapati api dari rumah pertama di deretan rumah berkembar separa kekal itu sudah marak ke rumah kedua, tiga dan empat.

“Bagaimanapun kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dan semua enam penghuni rumah berkenaan terselamat sebelum api berjaya dikawal 11 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Tambahnya, pihaknya berdepan cabaran untuk memadam kebakaran kerana jarak rumah berkembar yang rapat antara satu sama lain memudahkan api merebak dengan cepat.

“Struktur binaan kayu menyebabkan api merebak dengan cepat di bahagian atas rumah namun kepantasan bomba berjaya mengelakkan ia merebak ke rumah lain,” katanya sambil menambah punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Cheah Wei Liang

Sementara itu, mangsa kejadian, Cheah Wei Liang, 43, ketika kejadian kakak dan emaknya sedang berada di dalam rumah kelahirannya itu manakala dia berada sebuah lagi rumahnya yang terletak berhampiran.

“Waktu itu sekitar jam 10.30 ketika sedang berehat, jiran memaklumkan ruma jiran terbakar dan merebak ke rumah lama keluarga saya dan ketika itu emak dan kakak berada di dalam rumah.

“Tanpa berfikir panjang, saya cuba memadamkan api namun ia begitu marak menyebabkan dada dan bahu saya melecur namun bersyukur kerana ibu dan kakak berjaya menyelamatkan diri walaupun tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Empat buah rumah berusia lebih 50 tahun musnah dalam kebakaran di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu, Melaka malam tadi.

Tambahnya, sebelum kejadian itu, penempatan tersebut bekalan elektrik terputus selama 30 minit namun kembali pulih tidak lama selepas itu.

“Sebaik sahaja bekalan elektrik pulih, berlaku pula kebakaran yang memusnahkan empat rumah di penempatan berusia lebih 50 tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast