Peniaga astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang tuntut pampasan daripada pemaju.

GEORGE TOWN – Kira-kira 16 peniaga makanan astaka Taman Perindustrian Bayan Lepas di sini buntu memikirkan nasib mereka yang masih belum terima sebarang pampasan meskipun perlu mengosongkan premis perniagaan masing-masing hujung bulan ini.

Situasi bertambah rumit apabila peniaga mendakwa tiada sebarang perjanjian mengenai pampasan dibuat sedangkan arahan pengosongan diarahkan segera susulan lokasi itu akan diambil alih pemaju.

Peniaga nasi campur, Mohd Kamal Nordin, 38, berkata, kesemua peniaga ditawarkan pampasan mengikut keluasan gerai masing-masing secara lisan sekali gus mengundang kegusaran dalam kalangan peniaga.

Mohd Kamal.

Jelasnya, sebelum ini, mereka adalah penjaja  tepi jalan sebelum ditawarkan unit gerai sementara di astaka terbabit yang disewa daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Sejak zaman ayah saya kami berniaga di sini dan boleh dikatakan hampir 20 tahun perniagaan ini dijalankan tanpa sebarang masalah.

“Bagaimanapun, Julai lalu kami dikejutkan dengan kehadiran seorang individu yang mendakwa sebagai ‘orang tengah’, sebelum memaklumkan tapak astaka itu sudah dibeli pemaju dan perlu mengosongkan gerai terbabit sebelum 31 Ogos ini.

“Kami akur dengan arahan tersebut susulan mereka menjanjikan pampasan bagi setiap peniaga namun semakin hampir tarikh pengosongan tiada sebarang pampasan diberikan.

“Kami bimbang pemaju mungkir janji tambahan pula tiada sebarang perjanjian hitam putih dibuat sehingga hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Kamal, dia bersama 15 peniaga lain mengadakan perjumpaan bersama wakil dari Pejabat Parlimen Bayan Baru pada Selasa lalu bagi mengutarakan isu tersebut.

Peniaga berjumpa dengan Boon Aun (tengah) bagi menuntut janji pemaju pada Selasa lalu.

“Selepas perjumpaan itu, Pembantu Khas Ahli Parlimen Bayan Baru, Chan Boon Aun ada memaklumkan pihaknya sudah berbincang dengan pemaju dan peniaga akan terima pampasan tetapi sehingga kini kami belum terima pampasan mahu pun surat perjanjian,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga makanan, G. Sugumaran, 47, berkata, dia sudah menutup gerainya dan bersedia bagi berpindah mengikut tempoh yang diberi.

Bagaimanapun, katanya, perancangan untuk berpindah ke gerai lain gagal susulan dia tidak mempunyai wang bagi menyewa premis di lokasi baharu.

Sugumaran.

“Memang kami mahu pindah tetapi jika pampasan tidak bayar, macam mana mahu pindah.

“Perpindahan memerlukan kos terutama bagi menyewa gerai baharu serta menampung keperluan lain,” katanya.

Difahamkan, peniaga terbabit masing-masing dijanjikan pampasan sehingga RM40,000 dan ia  adalah wang ihsan daripada pemaju bagi membolehkan peniaga berpindah ke lokasi baharu. – MalaysiaGazette