PUTRAJAYA – Dalam keadaan terdesak, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti sudah tidak ada apa-apa pilihan lagi bagi terus mempertahankan dirinya dalam prosiding rayuan akhir sabitan dan hukuman salah penyewelengan dana SRC Sdn Bhd (SRC).
Memandangkan semalam sekali lagi mahkamah menolak permohonan serta rayuan oleh peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk memberikan pasukannya masa sehingga dua atau tiga bulan bagi mengkaji dan memberikan hujah terbaik melawan pendakwaan – Najib kini sudah tidak ada peguam untuk mewakilinya.
Hisyam berkali-kali memberitahu mahkamah dirinya tidak mampu untuk mempertahankan Najib tanpa diberikan masa menyiapkan diri sebelum membuat pembelaan.
Lima panel hakim yang diketuai oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat pula bertegas untuk tidak memberikan sebarang penangguhan menyebabkan Hisyam menarik diri malah memaklumkan mahkamah beliau tidak mampu membuat hujahan termasuk hujahan bertulis sekalipun.
Ketika sidang media di lobi mahkamah lewat petang semalam, Najib kelihatan sugul, pasukan peguamnya juga kelihatan bimbang dengan Hisyam yang memberikan bayangan ada kemungkinan keputusan akan terus dicapai dalam prosiding rayuan akhir itu tanpa dapat mengemukakan rayuan mempertahankan dirinya.
Menjawab pertanyaan mengenai apa yang boleh berlaku ekoran prosiding beberapa hari ini lalu, Hisyam mengandaikan jika beliau tidak akan membuat hujahan balas, mahkamah boleh terus membuat keputusan.
“Tetapi saya amat berharap panel hakim tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, Najib pula dalam nada kecewa masih berharap keadilan melalui mahkamah dapat diberikan kepadanya.
“Hak saya untuk hidup, kebebasan saya dan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil kini terancam. Peguam baharu saya tidak bersedia meneruskan kerana mereka tidak mempunyai masa secukupnya.
“Menjadi hasrat saya bukan sekadar untuk melengah-lengahkan proses mahkamah tetapi kerana permohonan Laidlaw akhirnya ditolak kurang dari sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan – justeru keperluan untuk penglibatan peguam baru muncul secara tiba-tiba.
“Mana-mana pasukan baru yang membawa idea baru memerlukan masa. Saya tidak malu untuk mengatakan, saya terdesak, sebagaimana sesiapa pun litigan yang berada dalam keadaan kesusahan seperti saya.
“Saya kini berada dalam situasi di mana hak saya untuk mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil cuma ilusi kerana saya membuat keputusan yang saya fikir adalah untuk kepentingan terbaik saya pada masa itu,” jelas Najib.
Bagaimanapun, beliau masih berharap untuk mendapat keadilan saksama buat dirinya.
“Saya berdoa dan berharap keadilan ditegakkan,” ujarnya.
Hari ini, mahkamah akan menyambung prosiding dengan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram yang juga mengetuai pasukan pendakwaan di hadapan lima panel hakim sekitar pukul 9.30 pagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Harapan untuk perbicaraan adil sudah dihujung tanduk – Najib
Mahkamah tolak tangguh kes, Hisyam mahu tarik diri wakili Najib
Terdahulu hak Najib untuk dapatkan khidmat QC juga telah ditolak mentah2! Sebagai orang awam alasan ramai lagi peguam tempatan yang layak dilihat amat lemah dan tidak relevan sama sekali!