LANGKAWI – Tiga pemuzik jalanan (buskers) termasuk seorang wanita ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, di sini, hari ini
Kesemua mereka berusia antara 24 hingga 26 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi pada jam 1.30 pagi.
IPD Langkawi dalam satu kenyataan di Facebook berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan tiga pasu yang ditanam pokok ganja di kawasan hadapan rumah itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui 17 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 178.14 gram, peralatan dipercayai untuk menghisap ganja serta penimbang digital di atas lantai ruang tamu rumah berkenaan.
“Selain itu, ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai pemuzik jalanan itu positif dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC),” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua mereka direman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39A(2), 6B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette