KUALA LUMPUR – Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Shah Alam, Selangor berikutan hujan berterusan pada petang ini.
Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Sri Muda dan Kota Kemuning dengan kebanyakan jalan raya di kawasan tersebut dinaiki air daripada setinggi buku lali sehingga 0.75 meter.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menafikan keadaan banjir bertambah buruk dengan air memasuki rumah seperti yang berlaku pada Disember tahun lalu.
Katanya, polis mengesan tular di laman Twitter dan Facebook mengenai kejadian banjir yang dikatakan berlaku di Taman Sri Muda pada petang ini.
“Hasil pemantauan awal pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Shah Alam beserta pasukan bomba dan penyelamat mendapati lokasi di sekitar Taman Sri Muda dalam keadaan baik dan terkawal walaupun pada petang ini berlaku banjir kilat yang menyebabkan ada jalan yang dinaiki air separas buku lali.
“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa oleh petugas di lapangan, sehingga kini semua lokasi jalan boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Pihak IPD Shah Alam menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat apa-apa spekulasi dengan menyebarkan video-video kejadian banjir yang lama, tanpa apa-apa kesahihan kerana perbuatan sebegini boleh mengganggu ketenteraman penduduk sekitar kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, malam ini.
Beliau menjelaskan, air yang membanjiri beberapa laluan di kawasan Shah Alam membabitkan Taman Sri Muda, Batu 7 Bukit Kemuning, Taman Bukit Kemuning, Jalan Bukit Rimau dan Kampung Bukit Naga kini sudah surut dan pergerakan trafik kembali normal bermula jam 6.30 petang.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menggerakkan beberapa aset termasuk bot ke kawasan Taman Sri Muda yang dilanda banjir kilat kira-kira jam 5 petang.
Kata beliau, pihaknya menerima panggilan mengenai banjir di Jalan Harapan, Jalan Waja, Jalan Makmur dan Jalan Mahir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada jam 5.05 petang.
Tambah Norazam, bertindak atas panggilan kecemasan itu, pihaknya telah menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam ke lokasi kejadian untuk tindakan menyelamat.
“Bagaimanapun pemerhatian mendapati keadaan terkawal di beberapa laluan utama dan taman perumahan di kawasan Sri Muda yang dinaiki air ekoran hujan yang berlarutan sejak beberapa jam yang lalu.
“Berdasarkan pemantauan tadi, tiada rumah yang dimasuki air banjir dan hanya melibatkan beberapa jalan di sekitar Sri Muda kenaikan air pada kedalaman dua kaki setengah atau paras buku lali.
“Setakat 6.30 petang, air banjir di kawasan yang dilaporkan di sekitar Taman Sri Muda, Shah Alam telah surut sepenuhnya dan hujan lebat telah berhenti dan keadaan terkawal serta kembali pulih sepenuhnya sekadar hujan renyai sekitar Shah Alam,” menerusi kenyataan.
Norazam berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi segala kemungkinan terutamanya banjir.
Jelasnya, malah Jabatan Bomba dan Penyelamat telah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas menyelamat dan operasi pemindah sekiranya diperlukan sejak hujan mula turun pada petang tadi.
“Kami telah menggerakkan beberapa aset menyelamat seperti lima buah bot penyelamat, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan 1 jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke lokasi bersama dengan keanggotaan seramai 24 anggota dan 3 orang pegawai kanan bersiap siaga serta memantau rapi keadaan di situ.
“Sehingga kini, tiada sebarang tindakan pemindahan mangsa dibuat berikutan keadaan di Taman Sri Muda, Shah Alam terkawal dan pulih normal selain Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga tidak dibuka berikutan tiada mangsa dipindahkan,” ujarnya sambil menambah paras air Sungai Klang berada dalam keadaan selamat dan air mula surut.
Berikutan itu, Norazam meminta penduduk sekitar Taman Sri Muda tidak panik dan terpengaruh dengan viral-viral melalui media sosial. – MalaysiaGazette