nasrudin hassan syariat Pas kafir
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Segelintir umat Islam seolah-olah tidak serik dan insaf apabila bersikap lalai dengan menghadiri konsert hiburan menampilkan artis-artis barat setelah negara kembali pulih dari musibah pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, takut dan resah hanya dirasai seketika dan mereka semua berpakat mengingati tuhan dengan mengadakan solat hajat dan qunut nazilah bagi memohon kepada Allah SWT agar diangkat segala musibah.

“Jangan tunggu datang musibah, meragut ribuan nyawa, baru nak insaf semula. Allahu akbar! Jangan cabar Allah SWT. Jangan undang kemurkaan-Nya.

“Masa pandemik, kecoh tak dapat solat berjemaah di masjid. Sekarang sudah boleh berjemaah, masjid surau masih lengang. Masuk masjid tak kena tiket pun. Konsert hiburan pula dikunjung puluhan ribu walau tiketnya mahal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau difahamkan, seawal pukul 10 pagi, ribuan peminat Billie Eilish telah mula beratur di Axiata Arena Bukit Jalil untuk mendapatkan tempat dalam konsert Happier Than Ever The World Tour 2022 yang berlangsung pada 18 Ogos lalu.

Nasrudin memberitahu, konsert itu disertai kira-kira 25,000 penonton dengan harga tiket serendah RM308 hingga RM598 tidak termasuk yuran tiket dan caj tempahan.

“Saya diberi maklumat, banyak lagi konsert hiburan yang bakal dianjurkan di Malaysia tahun 2022 ini. Sebahagiannya melibatkan artis yang menyokong agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” jelasnya.

Menurut beliau, ragam artis tempatan pun tidak mudah untuk ditangani di mana baru-baru ini tular rakaman video tarian dangdut yang menggiurkan dan tidak senonoh dalam majlis akikah.

Nasrudin mengingatkan kembali tentang situasi yang berlaku selepas negara dilanda tsunami dan ketika itu, konsert hiburan dibatalkan serta digantikan dengan majlis tazkirah, selawat dan tahlil.

“Berlalu beberapa masa, mereka kembali lupa dan mula tenggelam dalam hiburan yang melalaikan,” katanya.

Beliau merayu kepada umat Islam agar menghindari dan bangkit membantah kelalaian itu manakala pihak berkuasa digesa agar tidak membenarkan sebegitu banyak konsert hiburan dianjurkan di Malaysia.

Nasrudin berkata, masih ada cara untuk menghiburkan masyarakat tanpa mengheret mereka dalam kelalaian yang mengundang murka Allah SWT.

“Contohnya, konsert kesenian Islam, konsert selawat perdana dan lain-lain boleh dianjurkan banyak-banyak dan saya percaya ia akan mendapat sambutan dan memulangkan keuntungan kepada negara secara duniawi dan juga ukhrawi,” jelasnya. – MalaysiaGazette