Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis telah memulakan siasatan berhubung dakwaan seorang pemandu e-hailing bahawa beliau diminta membayar wang suapan berjumlah RM20,000 oleh polis selepas ditahan atas kesalahan membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) pada 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, wang sogokan diminta oleh polis itu sebagai dorongan bagi mengelak tindakan mahkamah, tangkapan dan reman diambil terhadap pemandu tersebut.

“Pemandu itu turut mendakwa polis telah menyalahgunakan kenderaan miliknya untuk menangkap kesemua Pati itu.

“Dua suspek telah direman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari dan kemudian dibebas jamin pada 27 Mei lalu sementara menunggu siasatan selesai.

“Kesemua Pati pula direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen dan mereka sudah dituduh di Mahkamah Teluk Datuk, Banting pada 1 Jun lalu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Dakwaan pemandu e-hailing itu rentetan daripada penahanan dua lelaki dan 16 Pati warga Indonesia di sekitar Long Beach, Tanjung Sepat, Banting, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Ridhwan memberitahu, pihaknya menerima satu laporan polis pada 8 Ogos lalu daripada salah seorang individu yang ditahan itu kerana tidak berpuas hati dan mendakwa polis menyalahgunakan kenderaan yang dirampas untuk tujuan tidak diketahui.

Katanya, pengadu yang membuat aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 30 Jun yang lalu mendakwa pegawai penyiasat kesnya telah meminta wang suapan sebanyak RM20,000 bagi mengelak beliau dituduh di mahkamah.

“Dalam perkara berkaitan, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat atas laporan polis dan aduan salah laku membabitkan pegawai polis tersebut.

“Siasatan dijalankan secara telus dan tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota terlibat dalam insiden tersebut,” ujar beliau.

Kelmarin, seorang pemandu e-hailing mendakwa dia telah direman selama 10 hari dan diminta membayar wang ‘kautim’ RM20,000 selepas ditahan polis kerana didakwa membawa dua penumpang Pati secara salah pada Mei lalu.

Lelaki itu juga mendakwa kenderaan e-hailing dan telefon bimbit miliknya turut dirampas dan disita polis berkenaan selama 41 hari sehingga mengakibatkan dia hilang punca pencarian sepanjang tempoh tersebut. – MalaysiaGazette