BERA – Penubuhan tabika dan taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara merupakan cerita kejayaan kerajaaan yang harus disampaikan kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan program pendidikan awal kanak-kanak dan kejayaan yang dikecapi kerajaan perlu diceritakan kepada semua lapisan masyarakat.

Namun demikian, kejayaan seperti ini jarang diketengahkan kepada rakyat bagi mendapat gambaran sebenar tentang kejayaan kerajaan.

Jelasnya, menerusi program Jom Masuk Kampung Dan Hari Potensi Parlimen Bera 2022 di Felda Triang 3 mampu meningkatkan kefahaman rakyat tentang dasar kerajaan

“Banyak dasar dan kejayaan yang dicapai kerajaan tidak dijelaskan dan dikongai serta disampaikan sehingga rakyat terkeliru dengan kempen oleh anti-kerajaan dengan fitnah yang dilemparkan.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika terkeliru kerana informasi yang sahih tidak sampai,” katanya ketika berucap di Felda Triang 3, Bera hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu, beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk meraikan dan menyokong aktiviti pusat pendidikan awal kanak-kanak selain memberikan peruntukan bagi pembangunan Kemas.

Sebanyak RM140 juta diperutukkan bagi program rancangan makanan tambahan kepada 9,716 buah tabika dan taska Kemas.

Bantuan RM3 kepada pelajar di semenanjung manakala RM3.25 kepada Sabah dan Sarawak itu memanfaatkan 225,281 kanak-kanak.

“Setiap tahun saya tidak pernah terlepas menghadiri Hari Potensi kecuali semasa menjadi pembangkang.

“Program pendidikan awal kanak-kanak dalam peringkat komuniti merupakan agenda pendidikan menjadi fokus pertama di daerah ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette