Mahdzir Khalid bertanya sesuatu kepada salah seorang peserta yang menyertai Bengkel Jahitan Kemas di Pusat Daya Maju.

PADANG TERAP – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), mewujudkan Bengkel Pusat Daya Maju atau COME yang menyediakan pelbagai peralatan bagi tujuan keusahawanan untuk kegunaan masyarakat di luar bandar secara percuma.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kewujudan COME selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia bagi mempastikan kumpulan sasar golongan B40 menerima faedah daripada perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pendapatan.

“Golongan peniaga atau usahawan baharu bidang jahitan contohnya yang tidak mempunyai peralatan yang lengkap boleh menggunakan peralatan yang disediakan secara percuma di Pusat Daya Maju ini.

”Dengan adanya Bengkel COME ini, mereka boleh datang menggunakan mesin-mesin jahit yang canggih seperti mesin sulam berkomputer, mesin jahit tepi dan juga mendapat bimbingan daripada Pemaju Masyarakat KEMAS yang mahir dalam bidang jahitan untuk memberikan tunjuk ajar,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Pusat Daya Maju KEMAS di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Pengarah KEMAS Kedah, Noor Azman Abd Rahman.

Jelas Mahdzir, setiap negeri mempunyai satu COME yang diwujudkan di premis Bengkel Jahitan KEMAS sedia ada yang dijangka memberi manfaat kepada3,000 orang usahawan baharu.

Beliau yakin dengan pembukaan 14 buah bengkel COME itu akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu KEMAS kata Mahdzir, akan membuka lebih banyak kelas-kelas kemahiran di seluruh negara bagi memenuhi keperluan Keluarga Malaysia khususnya di luar bandar.

“Sejajar dengan kewujudan Pusat Daya Maju, pada tahun ini juga, KEMAS melaksanakan kioks “QUKIS KEMAS” keluarga Malaysia yang merupakan platfom terbaik bagi membantu mempromosi dan memasarkan produk – produk usahawan bimbingan KEMAS,” kata Mahdzir.

Sejak tahun 2019 hingga kini, KEMAS merekodkan sejumlah 166,788 orang telah menghadiri kelas-kelas kemahiran yang dikendalikannya.

Manakala program Bantuan Quickwin yang diperkenalkan KEMAS sejak tahun 2016 pula telah memberi manfaat kepada seramai 18,477 orang dengan 16,618 orang daripadanya adalah golongan wanita.

Ianya merupakan antara inisiatif yang disediakan KEMAS bagi meningkatkan ekonomi masyarakat di luar bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast