Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menunaikan Solat Isyak pada Majlis Munajat Keluarga Malaysia di Masjid Putra, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 21 OGOS 2022.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob malam ini menyertai hampir 10,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk solat hajat dan berzikir pada program Munajat Keluarga Malaysia.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 8.24 malam, yang kemudiannya diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad untuk menjamu selera, sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah.

Solat Isyak diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali manakala solat hajat pula diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah.

Ia disusuli bacaan zikir munajat dan qasidah dipimpin secara bersama oleh beberapa selebriti terkenal seperti Munif Ahmad.

Sementara itu, tausiah disampaikan pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid manakala bacaan doa Keluarga Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Program Munajat Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu diadakan bersempena setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan. Munajat Keluarga Malaysia itu dijalankan serentak di enam lokasi iaitu Putrajaya, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos 2021. –  BERNAMA