Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mencabar Datuk Seri M. Saravanan untuk bertanding kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pelawaan itu dibuat Nur Jazlan berikutan permintaan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mahu parti pimpinannya bertanding 12 kerusi pada pilihan raya nanti

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Pulai itu membuka laluan kepada Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC untuk bertanding di kawasan berkenaan setelah beliau mengatakan dirinya sebagai individu yang ‘tidak sedar diri’.

Menurut Nur Jazlan, Saravanan juga boleh mendapatkan sokongan daripada pengundi Orang Asli sekiranya beliau merindui sokongan kaum itu di Kampung Bakar Batu, tetapi, ia tidaklah seramai di kawasannya di Tapah.

“Saya percaya jika Saravanan dapat memberikan kemenangan kepada BN sebagai calon Parlimen Pulai, ia suatu kemenangan yang cukup besar dan bermakna.

“Saya yakin dia akan disanjung dan dijulang sebagai hero macam dalam filem Tamil, Bahubali. Saya pun akan salute (tabik) dia,” katanya menerusi hantaran di Facebook di hari ini.

Menerusi hantaran itu, Nur Jazlan turut menemplak Saravanan apabila mengatakan beliau menjadi punca UMNO dan Barisan Nasional (BN) jatuh.

“Dia cakap saya, pemimpin yang kalah pada PRU14 lalu tak layak bercakap tentang kekuatan parti komponen BN terutamanya MIC.

“Dia juga tuduh saya jadi punca kejatuhan UMNO dan BN. Saya nak remind dia, mungkin dia lupa peristiwa tiga tahun lalu selepas BN kalah pada PRU14,” ujarnya.

Nur Jazlan berkata, pada 4 Mac 2019, MCA dan MIC pernah mengeluarkan kenyataan tidak mempunyai pilihan lain selain keluar daripada Barisan Nasional bagi meneroka satu pakatan baharu yang mencerminkan maksud sebenar perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan parti berkenaan.

Malah, kedua-dua parti itujuga dilaporkan mungkin cuba menyingkirkan UMNO, yang kini dilihat lebih berminat dengan kerjasama bersama Pas.
Nur Jazlan turut mengungkit bahawa Presiden UMNO mahu memanggil ketua-ketua parti komponen itu tetaoi mereka tak datang kerana bantah  pelantikan Datuk Seri Dr Zambery sebagai Setiausaha Agong BN.

Pada 10 Ogos lepas, Nur Jazlan menerusi Facebook berkata, UMNO tidak boleh lagi terlalu mengharapkan parti komponen lain iaitu MCA dan MIC untuk memberikan sumbangan besar kepada gabungan politik berkenaan pada PRU15.

Katanya, ini kerana di sebalik kononnya dua parti kompenan itu sudah melakukan reformasi, masih tidak nampak pengundi bukan Melayu berduyun-duyun kembali sokong mereka atau BN.

Malah katanya, calon-calon mereka ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor juga 80 peratus masih bergantung kepada pengundi UMNO.

Dalam satu sidang media selepas program anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), Jumaat lalu, Saravanan ketika diminta mengulas posting yang dimuat naik Nur Jazlan menyifatkan, individu seperti Nur Jazlan merupakan punca UMNO jatuh.

Beliau turut berkata, Nur Jazlan mudah melatah di kala kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri cuba mempertahankan institusi, namun beliau cuba merosakkannya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia sepatutnya memberi laluan kepada calon muda untuk bertanding di Parlimen Tapah yang sememangnya kerusi pasti menang kepada BN.

Ini kerana, peratusan undi Melayu dan Orang Asli cukup tinggi selama ini yang menyebabkan Saravanan boleh kekal sehingga tiga penggal di kerusi itu.

“Jika dia beri laluan kepada calon lain di Tapah dan BN menang lagi pada PRU15 di situ, maka secara tak langsung kuota Ahli Parlimen dari MIC juga akan bertambah.

“Mungkin MIC boleh dapat satu lagi jawatan menteri atau timbalan menteri dalam Kabinet baru nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Nur Jazlan punca UMNO jatuh – M. Saravanan