Trend penjualan barang kemas meningkat dalam negara ketika pandemik Covid-19.

BAYAN LEPAS – Pandemik Covid-19 telah memberikan impak serius kepada sektor ekonomi tertentu namun namun situasi itu berbeza bagi dunia perniagaan barang kemas khususnya di negara ini.

Ini kerana, sepanjang tempoh yang sukar itu, pengilang barang kemas dikatakan mampu meraih jualan puluhan juta ringgit setiap bulan sepanjang tahun lalu.

Pengilang barang kemas yang bertapak di Batu Pahat, Johorm Wong Fang Jin mendedahkan, mereka mampu meraih jualan barang perhiasan itu bernilai RM50 juta setiap bulan ketika pandemik Covid-19.

Menurutnya, trend penjualan barang kemas melonjak ketika pandemik kerana ketika itu orang ramai memiliki sejumlah wang hasil baki daripada perbelanjaan rumah.

Fang Jin.

Selain itu, penutupan sempadan negara turut memainkan peranan secara tidak langsung kerana rakyat membelanjakan wang mereka hanya dalam negara.

“Situasi itu membuka minda rakyat di negara ini untuk mengintai serta melabur menerusi pembelian barang kemas dan ia terbukti apabila kira-kira 200 kilogram emas dijual pihak kami setiap bulan.

“Kira-kira RM50 juta nilai barang kemas dikeluarkan oleh kami selaku pengilang setiap bulan kepada 3,000 pemilik kedai emas serta pelanggan termasuk secara atas talian.

“Jumlah penjualan barang kemas itu merupakan jualan penuh kepada rakyat di negara ini memandangkan ketika pandemik tiada sebarang urusan eksport membabitkan emas dibenarkan,” katanya ketika ditemui di Pameran Singnature Emas dan Barang Kemas di Pusat Konvensyen Setia Spice di sini, semalam.

Selain pemilik kedai emas pameran tersebut turut dikunjungi orang awam bagi mendapatkan koleksi terbaru barang kemas.

Mengulas mengenai trend penjualan barang kemas bagi tahun ini, Fang Jin berkata, trend pembelian masih wujud namun kini tidak sehebat waktu pandemik.

“Kami masih keluarkan kuantiti yang sama setiap bulan iaitu 200kg namun ia bukan lagi untuk pasaran tempatan semata-mata.

“Penjualan barang kemas tempatan kini hanya 40 peratus daripada keluaran kilang manakala 60 peratus lagi bagi pasaran luar negara (eksport).

“Bagaimanapun, kami masih berusaha untuk memupuk rakyat dalam negara ini membeli barang kemas sebagai alternatif pelaburan demi masa depan.

”Ini kerana barang kemas merupakan aset berharga yang boleh dijual pada bila-bila masa sekiranya seseorang itu terdesak memerlukan wang,” kata Fang Jin. – MalaysiaGazette