Zamri Yahya (kiri) menyerahkan tongkat kuasa kepada Datuk Baharuddin (kanan) yang akan memangku sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman mulai hari ini sambil disaksikan Acryl Sani di Pulapol petang tadi. Ihsan PDRM Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Datuk Baharuddin Ahmad dilantik sebagai pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman berkuatkuasa hari ini.

Beliau mengambil alih sementara tugas itu daripada Datuk Seri Zamri Yahya yang akan bersara wajib pada Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan setinggi penghargaan di atas kepimpinan cemerlang dan menyanjung tinggi kesetiaan serta khidmat bakti Zamri sepanjang 36 tahun perkhidmatannya menyarung uniform Sang Saka Biru.

“Syabas dan tahniah kepada Baharuddin di atas pelantikannya sebagai pemangku Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

“Saya yakin dengan berbekalkan pengalaman luas dalam bidang penugasan cawangan khas, beliau mampu memikul amanah yang diberikan ini dengan penuh cemerlang dan bertanggungjawab,” kata Acryl menerusi kenyataan di Bukit Aman petang tadi.

Majlis pelantikan dan serah terima tugas itu berlangsung dengan penuh beristiadat di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Di majlis sama turut berlangsung majlis penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) antara Datin Seri Dr. Sazilah Tun Ahmad Sarji kepada Datin Hasimah Yon Abdul Latif. -MalaysiaGazette