Jegan (kiri) menunjukkan tong plastik yang dipercayai digunakan untuk seleweng minyak diesel di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang membongkar satu penyelewengan minyak diesel yang didalangi pemilik stor simpanan barang kawalan di Bukit Mertajam, di sini, hari ini.

Serbuan jam 9.45 pagi itu dilakukan selepas pihak KPDNHEP negeri membuat pemantauan dan risikan berhubung aktiviti itu sejak beberapa hari lalu.

Pengarah KPDNHEP negeri, S. Jegan berkata, hasil siasatan mendapati premis tersebut mempunyai lesen barang kawalan untuk menyimpan 100,000 liter minyak diesel namun sebanyak 171,000 liter berada dalam milikan mereka.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemui sebuah lori 10 tan yang di atasnya terdapat lapan tong plastik kosong yang mana setiap satu berkapasiti 1,000 liter di luar premis.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis menemui lima buah tangki skid bersama dua buah lori bonded, dua buah lori kargo dan lima buah lori tangki.

“Selain itu, terdapat lima tangki skid dan tiga buah lori tangki menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan anggaran 171,000 liter yang melebihi had simpanan yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jegan berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki warga tempatan yang berada di lokasi tersebut bagi siasatan lanjut.

“Pemilik premis itu dipercayai menipu dengan mengisytiharkan mereka hanya memiliki 35,000 liter diesel bersubsidi dalam simpanan.

“Pada operasi itu, kita menyita 171,000 liter minyak diesel bernilai RM342,180 bersama sebuah lori kanvas dan tiga buah lori tangki bernilai RM190,000,” kata beliau.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast