zahid hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Khuatir Parlimen tergantung iaitu situasi di mana tiada parti mendapat majoriti seharusnya tidak dijadikan sebagai alasan untuk melewat-lewatkan pilihan raya umum (PRU) berlangsung.

Presidan UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Parlimen tergantung hanyalah satu mitos politik.

“Maksud mitos ialah cerita-cerita lama yang dianggap benar, namun tidaklah benar atau direka-reka.

“Mitos politik pula ialah menceritakan perkara yang kurang benar malah boleh dibuktikan sebaliknya,” kata Ahmad Zahid.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pencerahan oleh seorang pemerhati sains politik mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik Parlimen tergantung.

Menurutnya, penganalisis politik dari Universiti Sunway Prof. Dr. Wong Chin Huat telah menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku parlimen tergantung.

“Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk.

“Sebaliknya kita perlu ada pemahaman politik komparatif yang lebih dalam sistem politik. Kerajaan New Zealand 1996-2020 ialah terbentuk daripada itu akan tetapi tetap maju dan stabil.

“Autoriti pencerahan oleh Profesor Sains Politik tersebut mampu memberikan pencerahan dan membuka mata hati pemahaman mitos politik semasa,” katanya.

Lebih menarik menurut Ahmad Zahid, menyampaikan pandangan mengenai parlimen tergantung dalam Simposium Keluarga Malaysia yang dirasmikan oleh Perdana Negeri semalam.

“Justeru, janganlah menggunakan alasan takut Parlimen tergantung seperti cuba dikhabarkan bagi menghalang PRU diadakan. #MitosPolitik,” kata Ahmad Zahid.

Media melaporkan, Chin Huat berkata, soal yang menjadi kerisauan ramai ketika ini termasuk Perdana Menteri sendiri iaitu kemungkinan berlakunya ‘hung Parliament’ atau Parlimen tergantung sebenarnya tidaklah menyebabkan keadaan yang teruk seperti digambarkan.

Pembetukan sesebuah kerajaan campuran katanya bukanlah sesuatu yang asing berlaku di dunia atau menyebabkan kerosakan terhadap sesebuah negara.

Sebaliknya jika dilihat dengan lebih luas konteks tersebut, jelasnya lagi, ada negara yang berjaya disebabkan kekuatan yang diperolehi daripada campuran kerajaan yang dibentuk.

“Sejak selepas Perang Dunia Kedua, semua kerajaan di Jerman adalah merupakan kerajaan campuran… dan hari ini Jerman tetap muncul sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi yang paling kuat dalam kalangan negara dalam Kesatuan Eropah,” katanya lagi.

Beliau turut memberi contoh New Zealand yang semua kerajaannya daripada 1996 sampai 2020 adalah kerajaan campuran, tetapi maju dan stabil.

Walau bagaimanapun beliau tidak menolak akan sebarang kemungkinan yang mungkin terjadi namun ia sesuatu yang tidak perlu terlalu dikhuatiri.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast