Home Rencana Jihad memerangi Covid-19 memerdekakan negara

Jihad memerangi Covid-19 memerdekakan negara

Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PWTC (World Trade Centre) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022.

UMUM sering mendengar ungkapan jihad dan selalunya dikaitkan dengan peperangan. Namun satu-satunya kalimah yang sering mendapat persepsi negatif daripada sesetengah pihak terhadap Islam adalah jihad. Malah perkataan jihad menyumbang kepada salah faham Barat terhadap Islam dan telah mencetuskan fenomena Islamofobia.

Jihad berasal dari kata kerja ‘jahada’ dalam bahasa Arab dan ia merupakan kata nama terbitan. Dari sudut bahasa, perkataan ini bermaksud usaha bersungguh-sungguh dari segi perkataan dan perbuatan. Manakala maksud jihad dari sudut syarak bermaksud perang mempertahankan agama dan Negara.

Jihad bukan bermakna orang Islam dibenarkan untuk membunuh sesiapa sahaja secara membuta tuli. Islam agama mempromosikan keamanan dan keadilan. Keadilan jelas termaktub dalam al-Quran dengan penetapan hukum bunuh balas ke atas pembunuhan tanpa hak yang benar. Walau bagaimanapun, keindahan Islam turut terserlah dalam hal ini apabila membenarkan kelonggaran hukum bunuh balas dengan syarat mendapat kemaafan daripada keluarga si mati.

Dalam usaha jihad memerangi Covid-19 dan misi memerdekakan negara daripada cengkamannya, kita perlu istiqomah dalam mengamalkan norma baru dan patuh garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Selain daripada itu, kita harus bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara yang dirancang oleh pihak
pemerintah di mana rakyat harus tampil menerima suntikan vaksin bagi mewujudkan imuniti kelompok sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan vaksin yang diberikan kepada rakyat telah disahkan dari bahan yang halal oleh KKM.

Walau bagaimanapun, jika masih ada keraguan di hati masyarakat dan mengatakan ia dihasilkan daripada sumber yang tidak halal dan najis, maka pada ketika itu umat Islam perlu berpegang kepada kaedah fiqh iaitu addarurat tubih al-mahzurat darurat mengharuskan yang bahaya (haram). Dalam mengamalkan kaedah ini, umat Islam terikat dengan satu lagi kaedah iaitu addarurat tuqdiru biqadariha yang bermaksud darurat itu diukur sekadar yang diperlukan sahaja.

Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Produk Vaksin Covid-19 di Fasiliti Kesihatan (Annex 48a), sukatan 1 dos vaksin Pfizer adalah 0.3ml sahaja. Itu kadar yang diujikaji cukup bagi setiap dos dalam usaha mencegah jangkitan Covid-19 yang telah meragut berjuta juta nyawa manusia. Jaga nyawa adalah tuntutan agama yang digariskan dalam maqasid syariah demi menjamin kemaslahatan umat Islam.

Sehubungan dengan itu, jihad perbuatan tidak lengkap tanpa jihad perkataan. Maksud jihad perkataan adalah doa. Setiap usaha penting diiringi dengan doa dan tawakkal. Islam menganjurkan kita berdoa dan bermunajat dalam usaha memohon perlindungan daripada Allah SWT untuk menghadapi apa juga bala bencana dan musibah serta wabak penyakit. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut, lapar, kurang harta dan jiwa serta hasil tanaman, berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang sabar adalah mereka yang apabila ditimpa musibah akan mengucapkan Inna Lillah Wa Inna Ilayhi Rajiun (sesungguhnya kami datang daripadaNya, dan kepadaNya kami
kembali).

Selain daripada ucapan tersebut, usaha dan ikhtiar kita melawan Covid-19 harus diringi dengan doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis berikut: Ya Allah lindungi diriku dari penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit berbahaya. Di samping doa-doa khusus terdapat juga amalan doa-doa umum seperti “dengan nama Allah yang tiada sesuatu di bumi maupun di langit dapat memudaratkan bersama namanya. Bacaan doa ini dapat mengukuhkan keazaman dan jihad menempis segala kemudaratan khususnya Covid-19.

Keazaman kita untuk menang dalam jihad ini dilengkapkan dengan kebergantungan kepada Allah SWT. Ia terangkum dalam kalimah tawakkal. Sikap ini dituntut dalam agama selepas kita berusaha gigih sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud: …apabila engkau berazam, maka bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah menyintai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.

Manakala dalam surah al-Talaq ayat 3 pula, kita diingatkan bahawa sesiapa yang bertawakkal kepada Allah SWT, maka Allah cukup baginya. Antara kelebihan orang yang mengiringi usaha dengan doa dan tawakkal adalah memiliki hati yang tenang dan kejayaan yang cemerlang.

Kesimpulannya, jihad memerangi Covid-19 dan misi memerdekakan negara harus digembleng seiring dan sekata antara usaha, doa dan tawakkal. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita semua hendaklah bersatu hati bak peribahasa Melayu: bulat air kerana pembetung; bulat kata kerana muafakat.

Situasi kita kini ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Sikap mementingkan diri hanya merugikan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jadilah rakyat yang bertanggungjawab dan prihatin, dan akhirnya merdeka dari Covid-19.

Oleh: Dr. Aizan Ali@ Mat Zin
Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast