Rosol (tengah) bersama sebahagian daripada wakil negara-negara ASEAN, antaranya China, Jepun, Korea dan Amerika Syarikat di Melaka hari ini.

MELAKA – Tahap kesedaran usahawan tempatan termasuk sektor industri kecil dan sederhana (IKS)  mengenai kepentingan mendaftarkan harta intelek (IP) dilihat masih rendah.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, ia dapat dilihat menerusi data Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) apabila hanya 8,360 usahawan tempatan membuat permohonan IP untuk melindungi produk mereka.

Angka itu, menurut beliau, jauh lebih rendah berbanding lima tahun sebelum ini yang  pernah merekodkan lebih 22,00 permohonan.

“Sekarang ini saya lihat kesedaran ini masih kurang terutamanya dalam kalangan usahawan tempatan apabila tahun ini setakat Jun merekodkan hanya 8,360 permohonan IP,” katanya.

Ini berbeza dengan rekod lima tahun lalu iaitu 19,481 IP pada 2017, 19,863 (2018), 22,485(2019), 18,411 (2020) dan 20,132 pada tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Ke-67 Kumpulan Kerja Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar dan Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut,  Rosol berkata, MyIPO  diminta memperbanyakkan lagi aktiviti atau advokasi penerangan kepada usahawan tempatan.

“Apa yang saya nampak, usahawan Malaysia ini selain tiada kesedaran mereka juga tak tahu kepentingan mendaftar IP ini boleh melindungi hak cipta dan membawanya ke mahkamah sekiranya ia diciplak.

“Bayaran RM900 untuk tempoh 10 tahun bagi setiap IP itu sebenarnya sudah cukup rendah yang sepatutnya peluang ini diambil usahawan tempatan,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk membantu usahawan tempatan termasuk menyediakan dana pemfailan sebanyak RM6.5 juta untuk meringankan beban mereka dalam membuat permohonan.

Dana itu jelas beliau merangkumi pembiayaan yuran bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek iaitu cap dagangan, paten, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast