TEHRAN – Pekerja penyelamat Iraq sedang bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan selepas tanah runtuh di sebuah masjid mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang.
Agensi berita rasmi Iraq INA, memetik perkhidmatan pertahanan awam berkata, empat mayat ditemui dalam runtuhan di masjid Qattarat al-Imam Ali di wilayah Karbala, tengah Iraq.
”Kami telah menemui empat mayat, termasuk seorang wanita,” kata pegawai pertahanan awam Abdelrahman Jawdat.
Pertahanan Awam berkata, antara enam dan lapan jemaah terperangkap di dalam runtuhan itu.
Mahmoud Abdelwahed dari Al Jazeera, melaporkan dari ibu kota Baghdad berkata, ketika kejadian masjid itu dipenuhi dengan jemaah.
”Jentera berat dibawa ke tempat kejadian termasuk jentolak dan penggali dan ahli-ahli keluarga sedang berdiri, menunggu sebarang berita.
Tiga kanak-kanak telah diselamatkan dan mereka sedang dipantau di hospital.
Pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang malam mampu membekalkan bekalan oksigen serta makanan dan air kepada sebahagian daripada mereka yang terperangkap melalui celah dalam runtuhan, lapor INA.
Presiden Iraq, Barham Saleh menyeru para pekerja penyelamat “menggerakkan semua usaha untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap”.
Anggota kecemasan berkata, mereka masih berhubung dengan mangsa “untuk meredakan kebimbangan mereka”.
Tanah runtuh pada petang Sabtu berlaku selepas batu dan pasir mula menggelongsor, mengakibatkan kira-kira 30 peratus bangunan itu runtuh.
Runtuhan itu berukuran kira-kira 100 meter persegi. – Agensi