Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini semalam.

KLUANG – Seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 86.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor menerusi kenyataan memberitahu kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.40 petang itu menyebabkan mangsa yang memandu Perodua Myvi, Noorazimah Ismail, 40, meninggal dunia.

Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah kereta Perodua Myvi dan Proton Wira.

Bagaimanapun lelaki berusia 60 tahun yang memandu Proton Wira mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa telah tersepit. Bomba menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan. Mangsa diberikan rawatan awal dan kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital,” kata kenyataan itu.

Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom Kluang.

Hasil siasatan mendapati pemandu wanita dalam perjalanan dari arah Kota Tinggi menuju ke bandar Kluang bertembung dengan kenderaan dipandu oleh lelaki berkenaan yang datang dari arah bertentangan. – MalaysiaGazette