IPOH – Polis hari ini mengesahkan punca kematian seorang lelaki di hadapan rumahnya di Kampung Merua, Parit dekat sini semalam adalah akibat diserang haiwan, dan bukannya akibat dibunuh sebagaimana yang dilaporkan beberapa media.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, hasil bedah siasat di Hospital Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian adalah kehilangan darah yang serius disebabkan oleh serangan haiwan dan jangkitan Covid-19 selain saluran darah tersumbat.
“Si mati mengalami jangkitan Covid-19 dan pemeriksaan luaran mendapati terdapat luka di bahagian muka kiri dan leher serta beberapa helai bulu dikesan di sekeliling luka itu, manakala pemeriksaan dalaman menunjukkan dua saluran darah jantung simati tersumbat dengan keadaan yang teruk.
“Luka pada si mati berpadanan dengan (serangan) haiwan seperti anjing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang saksi menemukan si mati ditemui terbaring kaku berdekatan motosikal miliknya dengan darah di lantai dan kemudian terus menuju ke Balai Polis Parit untuk membuat makluman pagi semalam. – Bernama