Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Peserta (AKUP) Felcra Berhad di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mahdzhir Khalid melahirkan rasa simpati kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman 12 tahun penjara  dan denda RM210 juta dalam kes SRC International.

Menurut Naib Presiden UMNO itu, jasa dan bakti yang dicurahkan Najib ketika menjadi Perdana Menteri keenam negara tidak boleh dilupakan oleh rakyat negara ini.

“Saya secara peribadi merasa amat simpati terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan seluruh ahli keluarganya.

“Sebagai rakan seperjuangan dalam UMNO, apa sekalipun yang berlaku, jasa dan khidmat bakti beliau kepada UMNO dan negara sebelum ini, sama sekali tidak boleh dinafikan.

Justice hurried is justice buried” adalah satu frasa yang boleh kita hayati bersama dalam situasi ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mahdzir antara pemimpin UMNO yang terawal memberikan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Pekan itu.

Panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sebulat suara membuat keputusan itu  mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan hukuman itu, Najib akan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun mulai hari ini. – MalaysiaGazette