Mohd Saifuddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Mohd Saifuddin Abu Bakar berundur dari jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkuatkuasa 1 September ini.

FAM dalam kenyataan  hari ini memaklumkan mengenai peletakan jawatan oleh Setiausaha Agung FAM itu.

“FAM dimaklumkan bahawa Mohd Saifuddin mengambil keputusan itu kerana mahu menumpukan kerjayanya ke peringkat antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini Mohd Saifuddin, 61, dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Stuart Ramalingam berkuat kuasa pada 1 September 2021 akan meneruskan baki khidmatnya sehingga 31 Ogos 2022.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2021-2025 pada hari ini telah menerima peletakan jawatan tersebut daripada Mohd Saifuddin.

“FAM dan seluruh jawatankuasanya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Mohd Saifuddin atas khidmat cemerlang beliau sepanjang bersama FAM, termasuk penganjuran perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun lalu yang membawa skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023,” kata kenyataan yang sama.-MalaysiaGazette