KUALA LUMPUR – Langkah musuh Barisan Nasional (BN) semakin ganas dan terdesak sejak manifestasi rakyat mahu gabungan parti itu kembali memerintah negara.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pihak musuh memanipulasi segala ‘perkakas’ yang masih ada dalam pegangan mereka.
“Mereka sedang berusaha keras melencongkan fikiran rakyat daripada mengingati kisah kegagalan mereka,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.
Presiden UMNO itu menambah, gabungan politik parti-parti lawan tewas teruk kepada BN dalam banyak pilihan raya kecil (PRK) serta pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Beliau turut membangkitkan kemungkinan mereka sedang menggerakkan apa yang direncanakan dalam dokumen sulit yang terdedah April lalu.
“Atau ‘khemah besar’ telah pun bergerak dalam samar sebab itu terlihat keseragaman serangan ketika ini,” katanya.
Ahmad Zahid memberitahu, parti-parti lawan sedar rakyat masih tidak lupa keadaan buruk semasa negara di bawah pentadbiran mereka.
Katanya, mereka juga tahu rakyat masih terkesan dengan segala pembohongan serta janji-janji palsu mereka dalam PRU-14.
“Apakah ops divertion mereka untuk menyekat keazaman rakyat mengembalikan kemakmuran dan kestabilan akan berjaya? Jawapannya masa jua akan menentukan kerana rakyat ‘hakim’ PRU-15. Rakyat selepas PRU-14 lebih bijak dan saksama,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, BN tidak akan berundur, tidak akan tersekat dan terus mara ke hadapan.
“Kerana kita yakin walau apa mereka sedang gerakkan dan lakukan menggunakan ‘perkakas’ mereka, rakyat sudah mengerti.
“Mengerti sejauh mana lawan BN sanggup menyanggah matlamat tidak menghalalkan cara demi memperoleh kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette