Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – DAP menggesa kerajaan menggandakan usaha menangkap Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) demi memberi keadilan kepada rakyat negara ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, adalah tidak adil dan pengkhianatan keadilan apabila Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya dibiarkan bebas apabila Datuk Seri Najib Razak menghadapi pengadilan di mahkamah.

Guan Eng mendakwa rakyat memuji sembilan Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan atas penghakiman mereka yang mensabitkan Najib bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Najib telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau penjara lima tahun lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, pendakwa raya juga harus dipuji kerana mengendalikan kes yang sukar itu dengan profesional.

Mengulas lanjut gesaan itu, Guan Eng berkata, tiada perbelanjaan atau usaha harus dikurangkan untuk membawa Jho Low, keluarga dan rakan subahatnya yang terkait dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.

Beliau juga meminta kerajaan membuat laporan kemajuan mengenai status penangkapan penjenayah paling dikehendaki di Malaysia. – MalaysiaGazette