Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peguam kanan (QC) United Kingdom, Jonathan James Laidlaw telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menjadi peguam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Permohonan itu difailkan firma guaman, Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Persekutuan dua hari lepas.

Peguam dari firma Tetuan Shafee & Co, Muhammad Farhan Muhammad Shafee telah mengesahkan permohonan itu dan mendedahkan Jonathan telah merayu terhadap keseluruhan keputusan yang dibuat.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid menolak permohonan Jonathan Laidlaw untuk mewakili bekas Perdana Menteri itu dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Ahmad Kamal memutuskan demikian selepas Jonathan gagal menunjukkan dia mempunyai kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendalikan kes atau rayuan seperti pertuduhan dihadapi Najib.

Ahmad Kamal berkata, Jonathan juga tidak dapat menunjukkan bahawa kelayakan dan pengalamannya tidak dimiliki oleh mana-mana peguam di negara ini bagi tujuan berkenaan.

Hakim itu turut menegaskan bahawa isu dalam pertuduhan SRC mampu dikendalikan oleh peguam Malaysia.

Pada 31 Mei lalu, peguam itu memfailkan permohonan supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya yang mana peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.

Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini. -MalaysiaGazette