Tong Roro yang berjaya dirampas daripada suspek yang mencuri dan menjual kepada pihak ketiga dalam talian.

BANGI – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mencuri tong sampah jenis roll on roll off (Roro) milik majikannya sebelum menjual kepada pihak lain di sini baru-baru ini.

Difahamkan harga setiap tong Roro itu bernilai antara RM5,000 hingga RM7,000 di pasaran dan dijual suspek di dalam talian dalam separuh harga.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pada 18 Ogos lalu  pihaknya menerima laporan daripada pengadu seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan menyewa tong sampah Roro.

Katanya, pengadu telah diberitahu oleh majikan bahawa 13 buah tong sampah Roro milik syarikat didapati hilang dari simpanan di Balakong.

“Siasatan mendapati sebanyak lima unit tong sampah Roro bersaiz dua kaki dan lapan unit bersaiz empat kaki telah hilang dipercayai dicuri dengan anggaran kerugian berjumlah RM58,500.

“Berikutan kejadian ini siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan oleh pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Bonny Gerunsin yang memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

“Pada 18 Ogos lalu bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan polis Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Kajang telah berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di Taman Jasmin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, lelaki yang diberkas itu merupakan suspek utama  sebelum siasatan lanjut  membawa kepada tangkapan empat lagi lelaki warga tempatan yang mengaku membeli tong sampah Roro daripada suspek melalui jualan dalam talian.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek adalah pekerja syarikat itu sendiri yang mana suspek merupakan orang terakhir yang menggunakan lori syarikat dan semakan dalam kamera litar tertutup di tempat simpanan tong sampah Roro mendapati hanya suspek yang bertindak mengeluarkan tong sampah berkenaan.

“Hasil soal siasat lanjut terhadap suspek mengaku telah mengiklankan penjualan tong Roro itu dalam aplikasi mymudah.com sejak Mei hingga Julai 2022 dan telah memperoleh pembeli melalui aplikasi tersebut.

“Suspek telah berjaya menjual sebanyak 13 tong Roro di sekitar Selangor dan Perak dan tindakan lanjut polis berjaya menemui semula sembilan daripadanya.

“Suspek direman untuk siasatan lanjut polis,” tegasnya. – MalaysiaGazette