Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Gara-gara berang bekas teman wanitanya enggan meneruskan hubungan cintanya, seorang mekanik mengugut kekasih itu dengan pisau di Taman Ukay Bistari dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 19 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu pada Sabtu lalu.

Kejadian berlaku pukul 12 tengahari apabila remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek setelah dipanggil olehnya yang mahu menuntut ganti rugi perbelanjaan ketika menjadi pasangan kekasih berjumlah RM700 daripada mangsa itu.

Kemudiannya suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacu dua bilah pisau berlainan sebanyak dua kali.

“Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan cinta dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, suspek juga telah merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja perempuan itu rosak.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat yang diterima, pada pukul 8.30 malam tadi, sepasukan polis membuat tangkapan ke atas seorang suspek.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek di tempat tinggal turut berjaya merampas sebatang cota, dua bilah pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian.

“Semakan rekod jenayah lampau juga terhadap lelaki itu mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah.

“Suspek akan direman setelah dihadapkan ke mahkamah pagi ini untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette