Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir ke mahkamah hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Peguam utama bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shafee kunci mulut dan enggan mengulas lanjut mengenai perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bersambung hari ini.

Shafee menegaskan, beliau bimbang jika kenyataannya akan dimanipulasi petugas media memandangkan perbicaraan 1MDB kali ini berjalan selepas Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

“Kamu memanipulasi dan mengubah kenyataan kami, walaupun dalam mahkamah (tinggi),” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai keadaan bekas Perdana Menteri keenam itu, Shafee bagaimanapun meminta petugas media mencari jawapan sendiri.

“Pergi dan cari sendiri (jawapan),” katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu hadir ke Mahkamah Tinggi di sini kira-kira jam 8.27 pagi tadi bagi menghadiri perbicaraan kes 1MDB.

Mahkamah sebelum ini telah mengeluarkan perintah kepada pihak penjara supaya bekas Perdana Menteri berusia 69 tahun itu menghadiri prosiding hari ini di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Selasa lalu, Najib dimasukkan ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020. – MalaysiaGazette