BUTTERWORTH – Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan terhadap seorang kerani sebuah syarikat eksport pada Jumaat lalu.
Tertuduh, K. Sreedharan Naidu dan J. Moohilan Naidu masing-masing berusia 33 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa bersama-sama telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki berusia 57 tahun dengan merompak kereta jenis Honda Accord dan wang tunai berjumlah RM54,000 dengan mengacukan parang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persimpangan Taman Bukit Kecil dalam daerah Seberang Perai Tengah dekat sini, jam 12.30 tengah hari pada 6 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 397 akta.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh bakal berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam S.Morgan.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette
















