KAJANG – Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari Penjara Kajang menuju ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebentar tadi selepas dua hari menjalani hukuman penjara.
Kemunculan pertama Najib itu bagi menghadiri perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, pagi ini.
Selain hari ini, Najib sekali lagi akan dibawa dari penjara ke Mahkamah Tinggi esok bagi menghadiri perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB bagi mengelakkan dirinya dikenakan tindakan undang-undang.
Turut didakwa bersubahat dengan Najib bagi pertuduhan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.
Selain kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan penyelwengan dana 1MDB serta kes membabitkan laporan audit 1MDB, Najib masih mempunyai dua lagi kes yang masih belum berjalan.
Kes tersebut ialah kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dan kes membabitkan Najib dan bekas Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.
Kelmarin, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette