Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Wira Putra menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad segera meletakkan jawatan sementara menunggu kesnya yang dikaitkan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) selesai.

Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, sekiranya masih enggan berbuat demikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi kata dua kepada Ahli Parlimen Mersing itu.

“Perdana Menteri harus jadi berani dalam membuat keputusan yang akan merugikan nama baiknya dan mengelakkan daripada menyimpan liabiliti dalam kepimpinan kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Laporan Audit Forensik menamakan Abdul Latiff dan Zainab Mohd Salleh yang mempunyai kaitan dengan projek LCS yang dalam simpanan Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) dinyahklasifikasikan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri berkaitan perkara itu sebelum ini.

Menurut laporan itu, Abdul Latiff dan Zainab dinamakan sebagai individu yang dikaitkan dengan Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat yang ditandakan atas transaksi mencurigakan dalam urus niaga alat ganti.

Laporan itu juga menyebut Zainab mempunyai lebih banyak peranan berbanding Abdul Latiff.

Menurut Nasrul Hasan Ali, semakin banyak skandal dan isu penyelewengan yang dikaitkan dengan pemimpin politik itu terbongkar satu demi satu.

Jelas beliau, isu skandal terbaru projek pembinaan LCS yang melibatkan kerugian melebihi RM6 bilion itu bukan perkara main-main.

“Sewajarnya beliau meletakkan jawatan serta merta secara terhormat dan barulah benarkan sebarang siasatan dilakukan secara adil dan terbuka.

“Jika siasatan tidak menunjukkan sebarang perkaitan antara beliau, Perdana Menteri boleh mempertimbangkan kembali jawatan tersebut kepadanya,” katanya. – MalaysiaGazette