Seorang lelaki yang tidak dikenali membuat kecoh semasa prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 25 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki misteri muncul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tengah hari tadi ketika kes melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Lelaki tersebut yang memakai kot berwarna hitam berkotak-kotak pada mulanya menimbulkan kekecohan di lobi Mahkamah Tinggi yang terletak di tingkat empat.

Dia kemudiannya telah dihalau oleh penyokong Najib dari kawasan berkenaan kerana bimbang tindakan lelaki itu akan memberi gambaran buruk terhadap Najib dan juga kepada penyokong bekas Perdana Menteri itu.

Lelaki berkenaan kemudiannya turun dan keluar dari kompleks mahkamah dan mula membuat bising di perkarangan bangunan tersebut.

Dia tidak langsung menghiraukan kehadiran anggota polis yang bertugas mengawal keadaan dan bercakap dengan suara yang tinggi dan kuat ke arah media yang sedang membuat liputan kes  Najib.

Tidak sampai lima minit dia membuat kekecohan, lelaki itu kemudiannya dibawa pergi oleh anggota polis yang bertugas.

Sementara itu seorang penyokong Najib, Datuk Seri Said Nazar Abu Bakar menafikan lelaki berkenaan mempunyai sebarang kaitan dengan ‘Bossku’.

“Kita tidak kenal dia. Sepanjang kami mengikuti kes Datuk Seri Najib selama empat tahun,  inikali pertama lelaki itu muncul.

“Kita tidak tahu apa motif lelaki itu berbuat kecoh di sini. Dia buat bising di atas sebab itu kita suruh di turun ke sini.

“Kita tidak pasti dia waras atau tidak, atau dia diupah oleh sesiapa. Kita tidak mahu disebabkan lelaki ini penyokong Bossku akan dipandang serong. Jangan salah anggap,” kata Said Nazar yang lengkap bersongkok tinggi.

Najib hadir di Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.- MalaysiaGazette