Pesawat TUDM akan terbang rendah dalam latihan operasi dan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2022. Foto HAZROL ZAINAL, 31 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan latihan operasi dan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2022 esok hingga 30 Ogos ini.

Menurut satu kenyataan, TUDM akan melakukan koordinasi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara membabitkan pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membabitkan TUDM, Tentera Darat dan Tentera Laut.

“Latihan terbabit juga akan melibatkan pesawat udara milik Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Sepanjang tempoh latihan persiapan sehingga hari sebenar sambutan, pesawat akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal,” kata kenyataan itu.

Berikutan itu, orang ramai di Kuantan dan Lembah Klang tidak perlu berasa cemas dan risau sekiranya terlihat pesawat TUDM yang melakukan penerbangan rendah sepanjang tempoh latihan operasi dan kesiagaan sempena sambutan kemerdekaan dilaksanakan. – MalaysiaGazette