Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Penjara Kajang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.27 pagi tadi.
Beberapa kenderaan polis mengiringi kenderaan tersebut di hadapan dan belakang.
Suasana sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur setakat ini kelihatan aman tanpa sebarang perhimpunan oleh penyokong untuk menyambut kehadiran Najib.
Bagaimanapun kawalan ketat dilakukan di pintu pagar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di pintu masuk ke dalam kompleks serta di tingkat empat mahkamah tersebut.
Ini adalah kemunculan pertama Najib selepas dibawa ke Penjara Kajang pada Selasa lalu sebaik Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak rayuan akhir Najib berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. Beliau dihukum penjara selama 12 tahun.
Najib hadir di Mahkamah Tinggi di sini bagi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion.
Perintah Kehadiran (OTP) sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah supaya bekas perdana menteri itu hadir perbicaraan itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding bersambung dengan mahkamah mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa semula oleh pendakwaan.- MalaysiaGazette