KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu penglibatan kaum wanita dalam sektor kerajaan ditingkatkan.
Titah baginda, ini kerana golongan itu yang juga menjadi antara penyumbang jumlah undi dalam negara.
“Wanita turut memainkan peranan penting sebagai pendamai sesebuah negara, juga melahirkan pemimpin muda generasi bangsa,” titahnya pada Majlis Sambutan Hari Wanita Ke-60.
Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) itu turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
Menurut Tunku Azizah, wanita di negara ini juga memainkan peranan penting bukan sahaja untuk memperkasa golongan itu tetapi memastikan kesaksamaan.
Dalam erti kata lain, golongan wanita ini bukan sahaja ada peranan di rumah tetapi kepada negara juga. – MalaysiaGazette