Kamarul Zaman Mamat menunjukkan barang rampasan yang berjaya dilumpuhkan polis Johor dalam serbuan Rabu lalu sekitar bandar raya ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor berjaya melumpuhkan sindiket dadah yang dipek dalam bungkusan minuman dalam cubaan mengaburi pihak berkuasa selepas dua serbuan dibuat di daerah ini semalam.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan serbuan pada jam 2.30 hingga 5 pagi pada hari tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bungkusan mengandungi dadah jenis syabu dan ketamin itu dikesan dijual di pusat-pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

“Hasil operasi  itu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun ditahan dan saringan air kencing mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah, namun semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Kita dapat tahu mereka menyewa apartmen mewah untuk dijadikan tempat simpanan dadah yang lengkap dengan pengawal keselamatan,”  katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan sudah dilakukan sejak Mei lalu.

Kamarul Zaman berkata, polis masih menyiasat sekiranya terdapat dalang atau individu lain terlibat.

Katanya, dalam operasi itu polis merampas 3.91 kilogram (kg) serbuk ekstasi bernilai RM195,900; 153 gram (g) syabu (15,300); 276g ketamin (RM41,400); 759 biji pil Eramin 5 seberat 159g (RM11,925) dan 123 biji pil ektasi seberat 37g (RM1,850).

Polis juga melakukan menyita dua kereta bernilai RM111,000, wang tunai (RM4,100) dan satu loket emas (RM1,200).

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 30 Ogos untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Dalam sidang media itu, beliau memberitahu, sejak Januari hingga 24 Ogos lalu, pihak JSJN berjaya menangkap seramai 9,366 individu atas kesalahan dadah.

Sebanyak 2.59 tan dadah dirampas.– MalaysiaGazette