Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan hasil rampasan merupakan dadah jenis syabu seberar 841.06 Kilogram (kg) dalam sidang media di IPD Bentong hari ini.

KUANTAN – Pihak menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bagi pasaran antarabangsa dan tempatan dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam dua serbuan yang dijalankan di Bukit Tinggi dan Bentong pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, tangkapan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) itu membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 841.06 kilogram (kg) bernilai RM30.8 juta.

“Mereka yang merupakan rakyat tempatan Bentong berusia dalam lingkungan 61 hingga 63 tahun dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut,” katanya dalam sidang media di Rumah Kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan  lebih 4.2 juta penagih.

Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sepucuk pistol jenis glock, selaras senjata api buatan sendiri, empat kelopak peluru, 50 butir peluru hidup, 17 butir peluru, 12 ‘Bore’ dan dua batang besi ‘barrel’.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini yang mana modus operandinya adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan laluan laut untuk menyeludup dadah ke negara jiran.

Hasil saringan air kencing suspek yang merupakan penganggur dan pekebun durian didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod lampau jenayah, ujarnya.

Ramli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 21 Ogos lalu untuk membantu siasatan.-MalaysiaGazette