Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy tiba di mahkamah bagi menghadiri prosiding kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy memberitahu Mhakamah Tinggi, di sni, bahawa beliau maklum dengan maklumat Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah Kaunsel Kumpulan Maybank.

Namun saksi pendakwaan itu berkata, sepanjang berkhidmat dengan 1MDB beliau tidak pernah bertemu dengan Mohd Nazlan, termasuk ketika 1MDB melakukan pinjaman.

Sebeliknya beliau menemui peguam bank itu, Dalvin Kaur yang dikenali sebagai Molly serta Michael Oh-Lau daripada Bahagian Pinjaman Komersial.

Arul Kanda berkata, beliau juga tidak tahu tentang pembabitan bekas hakim Mahkamah Tinggi itu dalam pemberian pinjaman RM4.1 bilion oleh Maybank kepada 1MDB.

Arul Kanda menyatakan demikian ketika menjawab soalan yang diajukan peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika soal balas hari ini.

Mohd Nazlan merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Nama Mohd Nazlan ditimbulkan pada prosiding hari ini kerana pada 15 Ogos lepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti tambahan membabitkan Mohd Nazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC.

Najib dan Arul Kanda berdepan dengan tuduhan meminda laporan audit syarikat itu.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan tindakan dikenakan terhadapnya.

Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, prosiding hari ini dimulakan lebih lambat dan ditangguhkan lebih awal kerana Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak sihat.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohammed Zaini Mazlan kemudian menangguhkan perbicaraan kepada 5 September ini. – MalaysiaGazette