MELAKA – Seorang bekas eksekutif kanan sebuah syarikat petroleum dan dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan menyeleweng minyak pelincir milik majikannya dua tahun lalu.
Tertuduh, Sheikh Izzuddin Sheikh Salleh, 40, dan dua rakannya, Mohammad Safiy Khan Muzair Khan, 33, serta Mohd Zakry Abu Bakar, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dalam prosiding berasingan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan, Sheikh Izzuddin sebagai Senior Eksekutif Inventori syarikat (ketika itu) yang diamanahkan dengan penguasaan harta iaitu minyak pelincir 24,461.43 kilogram (kg) anggaran harga RM113,000 didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan mengalihkan sebahagian minyak milik syarikat dan menyalahgunakannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya antara 20 September 2020, kira-kira jam 9 pagi hingga 1 November 2020 kira-kira jam 11.16 pagi di kawasan MG3 Melaka Lubricant Sdn Bhd (MLBP) Sungai Udang, di sini.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan sebat serta denda.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari.
Semua tertuduh diwakili peguam, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh, Fahmy Sulaiman, Faiezad Razali dan Melvin Tay Yee Shian.
Muhammad Nazrin mencadangkan jaminan RM20,000 beserta syarat tambah tambahan terhadap Sheikh Izzuddin.
Namun, peguam Sheikh Ikhzan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung dua anak masih bersekolah berusia 12 dan 15 tahun.
Katanya, tertuduh yang kini berjawatan eksekutif sebuah syarikat di Kuala Lumpur juga telah hadir sendiri ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 September depan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan Mohammad Safiy yang juga polis bantuan dan rakannya Mohd Zakry seorang kontraktor, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat membantu Sheikh Izzudin.
Kedua-dua tertuduh menafikan melakukan pecah amanah menyeleweng minyak pelincir berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama di hadapan Hakim Nariman.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 408 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum 14 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi Mohammad Safiy dan RM7,000 bagi Mohd Zakry serta menetapkan kes dibicarakan serentak pada 26 September ini. – MalaysiaGazette