PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

GUA MUSANG – Seorang buruh binaan meninggal dunia semalam dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan topi keledar oleh majikannya, Isnin lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun itu meninggal dunia pada 6.30 pagi ketika dirawat di Hospital Kuala Lipis, Pahang.

Beliau berkata, pada Isnin lepas, mangsa mengadu dipukul majikannya di Kampung Mentara Lama, di sini dan dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh, Pahang pada keesokannya sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lipis pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati mangsa bekerja dengan suspek sebagai tukang rumah di Kampung Mentara Lama.

“Punca awal kejadian disebabkan mangsa cuba mengambil duit upah membina rumah tanpa pengetahuan majikannya itu. Suspek berang lalu bertindak memukul mangsa menggunakan topi keledar hingga mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu, suspek yang berusia 40 tahun direman hingga Selasa ini untuk membantu siasatan.

“Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan namun kemudian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memandangkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya. – Bernama