Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi Malaysia mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar melaksanakan pindaan ke atas empat peruntukan bagi melancarkan proses pentadbiran estet kebankrapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, taklimat mengenai cadangan pindaan itu telah dibentangkan oleh jabatan berkenaan kepadanya semalam.

Kata beliau, cadangan pindaan itu melibatkan, pertama, penambahbaikan kepada peruntukan Seksyen 33C Akta 360 berkenaan pelepasan automatik bagi membantu lebih ramai yang bankrap dapat keluar daripada kebankrapan selepas tempoh tiga tahun.

Kedua, menyasarkan untuk menetapkan had masa pemfailan Borang Bukti Hutang oleh pemiutang untuk mempercepatkan proses pelepasan kebankrapan atau pembatalan perintah kebankrapan;

Ketiga, memansuhkan Mesyuarat Pertama Pemiutang iaitu cadangan untuk mesyuarat pemiutang hanya perlu diadakan berdasarkan keperluan dan permintaan pemiutang bagi mengelakkan kelengahan dan perancangan seterusnya dapat dibuat untuk membantu bankrap keluar daripada kebankrapan; dan

Keempat, untuk menambah penggunaan baharu berkenaan teknologi komunikasi jarak jauh dalam urusan pentadbiran kebankrapan di mana ia dapat membantu bankrap berurusan dengan MdI secara dalam talian dan digital serta memudahkan pentadbiran kebankrapan.

“Fokus utama Jabatan Insolvensi Malaysia adalah untuk mempercepatkan proses pentadbiran kebankrapan dan membantu bankrap untuk keluar daripada kebankrapan dengan segera.

“Bagaimanapun, pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Udang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengkaji cadangan pindaan ini dengan lebih terperinci terutamanya berkaitan implikasinya kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Wan Junaidi, beberapa libat urus dicadangkan dengan pemegang taruh khususnya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta kementerian yang bertanggungjawab untuk mengawal selia syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana Malaysia serta usahawan dalam kategori mikro sebelum memuktamadkan cadangan dan dibawa ke Jemaah Menteri melalui satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

Kata beliau, statistik kes kebankrapan yang didaftarkan menunjukkan pola penurunan, di mana 12,051 kes bagi tahun 2019, diikuti 8,351 kes (2020), 6,554 kes (2021) dan 3,604 kes (2022) setakat Julai lalu.

Dari sudut peratusan pula, pengurangan berbanding tahun sebelumnya direkodkan sebanyak 26.88 peratus pada 2019, 30.70 peratus (2020) dan 21.52 peratus (2021).

“Pola penurunan ini turut disebabkan oleh beberapa faktor lain termasuk inisiatif kerajaan melalui pemberian moratorium dan bantuan bersasar bank, di mana pihak pemberi pinjaman dan pihak peminjam boleh berbincang bagi membuat penyusunan semula hutang.

“Meskipun terdapat penurunan kes kebankrapan pada ketika ini, Jabatan Insolvensi Malaysia akan sentiasa meneliti jumlah serta punca kes kebankarapan yang difailkan oleh pihak pemiutang serta menambah baik Akta 360 bagi menjadikan pentadbiran kes kebankrapan lebih efisien,” katanya. – MalaysiaGazette