MACC logo Seri Iskandar airport land sales Perak
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil dan merakam keterangan daripada beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Sumber memberitahu, serbuan yang dijalankan ke atas pejabat KLFA dan KL City dilakukan susulan laporan diterima mengenai kes pecah amanah membabitkan wang tajaan Kuala Lumpur City FC (KL City) dan tanah Akademi KLFA di Desa Melawati.

“Dokumen yang diperoleh dari pejabat KLFA oleh SPRM pada minggu lalu sudah dihantar ke bahagian forensik untuk dianalisa dan SPRM akan meneliti proses penggunaan dana tajaan ini sama ada mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Tajaan paling besar untuk KLFA datang daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diikuti oleh beberapa syarikat di Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, siasatan kes berkenaan masih berada di peringkat awal dan SPRM dipercayai akan memanggil beberapa saksi untuk mengambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini,” ujar sumber itu.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini mengesahkan siasatan sedang dijalankan pihaknya terhadap persatuan bola sepak itu.

Kata beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette