Rafizi (kiri) dan Dr. Abd Latiff

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mencabar Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad untuk menyaman dirinya berkaitan tuduhan Zainab Mohd Salleh yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS) adalah isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Menurut Rafizi tidak ada gunanya untuk Dr. Abd Latif menyangkal tuduhan tersebut di dalam media sosial sahaja.

“Apabila Dr. Abd Latiff hanya menafikan di Facebook itu bermakna beliau menuduh juruaudit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu, apabila laporan juruaudit menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr. Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.

“Penafian Facebook Dr. Abd Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr. Abd Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab Mohd Salleh melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd,” kata Rafizi.

Setakat ini menurut Rafizi, Abd. Latiff tidak tidak menafikan fakta-fakta yang telah dikongsi oleh beliau.

Fakta itu termasuk Laporan Forensik Kapal LCS menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai individu yang mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta

Selain itu Laporan Forensik Kapal LCS turut menamakan satu lagi syarikat Mega P Asia Sdn Bhd sebagai syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut.

Rafizi turut mendakwa syarikat Mega P Asia Sdn Bhd ditubuhkan oleh Dr. Abd Latiff sendiri dan syarikat tersebut dimiliki bersama oleh beliau dan Zainab Mohd Salleh

“Jika Dr. Abd. Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab Mohd Salleh dan dia (atau keluarganya) tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman dengan serta-merta ke atas BHIC (tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS), Alliance IFA (M) Sdn Bhd (juruaudit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS) dan saya (yang mendedahkan perkara ini),” kata Rafizi.

Tambah Rafizi, jika Abd. Latiff tidak mengambil tindakan menyaman dengan segera maka beliau yakin Ahli Parlimen Mersing itu akan mengheret Bersatu ke kancah kekalahan dalam pilihan raya.

Dr. Abd. Latiff hari ini sekali lagi menafikan dakwaan Rafizi bahawa Zainab Mohd Salleh adalah isterinya. – MalaysiaGazette