lapan suspek disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan Bitcoin online termasuk empat lelaki dan tiga wanita tempatan diberkas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Kerinchi, Bangsar ibu negara semalam. Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan bitcoin lumpuh dengan tertangkapnya lapan individu, termasuk seorang warga China serbuan ke atas sebuah kondominium, Jalan Kerinchi, di sini, semalam.

Sindiket yang menyewa kondominium tersebut untuk menjadikannya sebagai pusat panggilan bagi memperdayakan mangsa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sindiket itu menyasarkan warga Jepun sebagai mangsa dan suspek yang ditahan telah bekerja antara tiga hari hingga dua minggu selepas menerima tawaran pekerjaan melalui laman Facebook.

“Siasatan lanjut mendedahkan bahawa kesemua tangkapan tersebut merupakan pekerja yang dibayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan oleh mereka yang mendalangi sindiket tersebut.

“Mereka juga menerima komisyen sebanyak tiga peratus hingga lima peratus dari keseluruhan kutipan yang berjaya dilakukan dalam tempoh sebulan manakala urusan pemberian gaji akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serbuan semalam dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dibantu Bahagian Risikan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Pakar Analisa Media Sosial serta Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia (JSM) Bukit Aman.

Menurut Amihizam, sindiket itu telah beroperasi sejak pertengahan bulan ini dan sumpek yang ditahan berumur dalam lingkungan 19 hingga 33 tahun.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas premis itu membawa kepada rampasan lapan buah komputer riba, 16 buah telefon bimbit, sebuah modem dan sebuah router yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette