zahid hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan mengikut rentak pembangkang untuk melengah-lengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menegaskan perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti tersebut faham akan segala tindak-tanduk pembangkang yang mahu PRU15 dilewatkan sehingga tahun depan.

Beliau menegaskan, UMNO tidak akan memberikan lebih masa untuk pembangkang menyusun strategi dan meningkatkan propaganda bagi menewaskan UMNO.

“Kita tidak akan ikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan pilihan raya umum ke-15 agar mereka dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda, menambahkan serangan politik terhadap UMNO.

“Kita dalam arus politik perdana sangat faham akan gelagat mereka. Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dan sekutu mereka untuk memporakperandakan UMNO!” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan terbaharu.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO yang kini berusia 76 tahun bukan sebuah parti nyamuk yang baru ditubuhkan.

Usia yang panjang bermakna UMNO memiliki tradisi, sejarah dan juga kesinambungan dalam negara, ujarnya.

“Patah tumbuh hilang berganti. Sekali air bah sekali pantai berubah. UMNO sentiasa diuji zaman berzaman.

“Ramai yang keluar parti dalam sejarah yang panjang. Ada yang memilih menentang UMNO selepas itu. Namun UMNO tetap teguh walaupun badai politik bergelora.

“Apabila melihat sejarah dan tradisi UMNO secara meluas dan panjang banyak hikmah dan kebijaksanaan sejarah,” katanya.

Apa yang lebih penting menurut Ahmad Zahid, UMNO perlu sentiasa bergerak ke depan, menyantuni rakyat dengan dasar realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang seperti dalam manifesto Pakatan Harapan yang lalu.

Kekuatan UMNO kata beliau, terletak kepada ketulusan perjuangan akar umbi UMNO yang selama ini sentiasa teguh setia dan tidak berkhianat.

“Marilah kita sama-sama mempertingkat azam kita untuk bergerak ke depan bersama UMNO dan tidak goyang walaupun badai politik melanda.

“Inilah asam garam politik perlu diharungi. Yang penting rapatkan barisan, tingkatkan kesetiaan kepada keputusan parti dan jangan biarkan kita dimanipulasi oleh musuh politik kita,” kata Ahmad Zahid.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast