Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad yakin tiada mana-mana parti yang akan memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas perdana menteri itu berkata, parti terkuat di dalam negara juga dijangka perlu mengadakan kerjasama dengan parti lain bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU nanti.

“Saya yakin kali ini tidak ada parti yang boleh mendapat 50 peratus lebih (kerusi) kerana bukan dua parti sahaja yang bertanding seperti dulu UMNO-BN melawan parti pembangkang.

“Sekarang sudah wujud banyak parti dalam negara ini dan masing-masing dilihat hanya sekadar seronok nak jadi Perdana Menteri yang mana ada sekumpulan individu yang memiliki objektif utamanya jadi PM.

“Mereka hanya berminat untuk jawatan PM bukannya nak berkhidmat untuk rakyat dan negara inilah realiti PM yang kita miliki sekarang.

“Empat perdana menteri yang mentadbir negara sebelum ini, apabila kita menjadi bebas berkhidmat untuk negara, kerajaan menjadi baik, kerajaan sekarang yang berkhidmat kepada rakyat sudah menjadi perasuah,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau terdahulu hadir merasmikan Himpunan Nasional 2022 Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Malaysia yang ditemani Presiden Berjsa Zamani Ibrahim di hadapan kira-kira 2,000 orang ahli parti gabungan Gerakan Tanah Air (GTA).

Disebabkan itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, GTA bersedia untuk bekerjasama dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan.

Ditanya mengenai kemungkinan GTA sedia bekerjasama dengan UMNO selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dihukum penjara, Ahli Parlimen Langkawi itu  menyatakan pihaknya tidak bersedia sama sekali untuk menjalin hubungan semula dengan UMNO-BN.

Katanya, gabungan itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan parti yang tidak berintegriti dan terpalit dengan amalan rasuah.

“UMNO imej dia sudah calar dan musnah dari atas hingga ke akar umbi semuanya sudah berasuah dan bila kita tanya sokongan soalan dia pula tanya berapa wang kamu boleh berikan sebab itu negara ini sudah merudum.

“Dia tidak kisah semua itu asalkan dapat wang… itulah UMNO sekarang..saya fikir mereka sudah berpecah tidak sependapat sekarang. tiap-tiap ahli ada pandangan tersendiri manakala pemimpin juga tidak bersatu, mereka dalam keadaan tak yakin dengan perjuangan mereka kerana sudah menyeleweng,” tegasnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memaklumkan Parti Warisan (Warisan) ketika ini bukan sebahagian daripada gabungan GTA sambil mendakwa gabungan yang diasaskan beliau mendapat sokongan yang menggalakkan daripada masyarakat di Sabah dan Sarawak.

“Kekuatan sokongan yang kami dapat dari Sabah dan Sarawk itu dilihat lebih ramai berbanding di Semenanjung.

“Malah dalam soal penentuan siapa calon PM GTA, menjelang PRU-15, kita tidak akan menamakan sekarang dan ia tidak sesuai berbuat begitu, tidak akan menamakan mana-mana pemimpin sebagai calon Perdana Menteri menjelang PRU-15.

“Biar kita menang dan barulah bincang dan tentukan perdana menteri, kalau kita tentukan calon PM tapi tak dapat bentuk kerajaan tidak bermakna juga,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast