Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Taklimat Khas Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terkilan apabila ada banyak pihak menuduh UMNO gila kuasa apabila asyik mendesak menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ada juga dakwaan mengatakan desakan dibuat bagi dirinya terlepas dakwaan di mahkamah.

“Siapa yang mengatakan bahawa desakan PRU-15 perlu disegerakan kerana saya takutkan sabitan hukuman terhadap saya? Ini adalah tidak benar sama sekali kerana saya masih percaya bahawa sistem perundangan kita tidak memihak kepada sesiapa.

“Sesiapa yang memomokkan bahawa saya takut atau gentar akan disabitkan kesalahan, saya yakin orang itulah yang takut dengan hamba Allah yang bernama Ahmad Zahid bin Hamidi dan dialah yang sebenarnya tidak yakin kepada diri mereka sendiri dan takut dengan bayang-bayang mereka.

“Hakikatnya, saya membawa suara ahli-ahli UMNO yang setia. Bukan suara sumbang yang ingin menguburkan UMNO,” tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semasa Taklimat Khas Presiden UMNO di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid lagi, desakan segerakan pilihan raya bukan kerana UMNO gila kuasa, gila jawatan dan gila kedudukan seperti didakwa.

“Walaupun Perdana Menteri adalah Naib Presiden parti kita, perlu ditegaskan bahawa kerajaan ini bukanlah BN.

“Kerajaan ini bukan sepenuhnya kerajaan Umno. Ia adalah kerajaan yang dianggotai pelbagai parti yang diistilahkan sebagai kerajaan hybrid yang sukar mencapai kestabilan.

“Hal ini kerana wujudnya ugutan, merajuk waima perjanjian yang langsung tiada dalam pengetahuan mahupun direstui parti, menjadi penghalang untuk kita melaksanakan pendirian dan ketetapan yang diputuskan oleh parti,” ujar Zahid lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin Ismail Sabri tidak tidak akan membiarkan UMNO kalah dalam PRU-15.- MalaysiaGazette