Barisan Nasional
Mampukah BN meneruskan momentum kemenangan besar PRN Johor dan Melaka pada PRU-15?

SEMANGAT para pemimpin dan ahli UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin membara. Malah, sentimen yang dipamerkan pada Taklimat Khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) membayangkan seolah-olah mereka amat yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu meraih kemenangan besar.

Maka, bergemalah suara-suara mendesak Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen lebih awal. Kalau boleh, UMNO mahu PRU-15 diadakan tahun ini juga. Sehingga timbul tuduhan liar mendakwa ada pemimpin UMNO yang mahu PRU-15 dilangsungkan sebelum mahkamah membuat keputusan terhadap kes-kes yang dihadap mereka.

Memang terbukti UMNO tidak patah semangat selepas episod hitam yang menyaksikan BN kehilangan kuasa buat kali pertama pada PRU-14 setelah memerintah negara sejak merdeka. Namun, adakah semangat dan keyakinan yang sangat tinggi ketika ini memadai untuk menjamin BN kembali menjadi parti pemerintah yang dominan selepas PRU-15?

Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berpandangan, walaupun UMNO dijangka muncul sebagai parti yang memenangi paling banyak kerusi, belum tentu BN dapat membentuk majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Jangkaan beliau itu adalah bersandarkan kepada hakikat bahawa sokongan pengundi khususnya orang Melayu kini terpecah kepada BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

“UMNO banyak bergantung kepada penyokong tegar yang juga merupakan ahli-ahlinya. Walau bagaimanapun, sokongan pengundi atas pagar sukar dijangka manakala sebahagian besar pengundi bukan Melayu masih belum kembali menyokong BN,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

mohd azizuddin mohd sani
Mohd. Azizuddin Mohd. Sani

UMNO dan BN juga tidak boleh menganggap Sabah dan Sarawak sebagai ‘deposit tetap’. Menurut Mohd. Azizuddin, Gabungan Parti Sarawak (GPS) lebih cenderung menyokong mana-mana parti yang membentuk kerajaan Pusat. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Malah, beliau percaya kemungkinan yang dibayangkan Ismail Sabri mengenai situasi ‘Parlimen tergantung’ yang mana tiada parti mempunyai majoriti mudah boleh berlaku. Dalam keadaan sedemikian, UMNO mungkin terpaksa membentuk pakatan atau kerjasama dengan parti-parti lain untuk membentuk kerajaan, sama seperti yang diamalkan sekarang.

Mohd. Azizuddin yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) memahami latar di sebalik ‘keghairahan’ pemimpin dan penyokong UMNO itu. Mereka mahu meneruskan momentum kemenangan besar yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Selain itu, parti-parti pembangkang dilihat masih belum bersedia menghadapi PRU-15,” katanya sambil menambah bahawa faktor tersebut boleh memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Pada masa yang sama, beliau menyarankan supaya BN dan UMNO mengkaji terlebih dahulu tentang kesesuaian untuk mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi apabila memikirkan parti itu perlu diperkukuhkan semula ekoran beberapa masalah dalaman yang dihadapinya.

Mohd. Azizuddin tidak menolak kemungkinan isu-isu yang dikaitkan dengan pemimpin BN seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) serta kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin-pemimpin UMNO boleh menjejaskan sokongan terhadap parti itu.

“PH dan PN ketika ini dilihat melabelkan BN dengan stigma rasuah,” katanya. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu yang mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC International Sdn. Bhd. terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedikit sebanyak memberi kesan terhadap UMNO dan BN.

Satu lagi faktor yang perlu diambil kira adalah prestasi menteri-menteri Kabinet yang turut dianggotai pemimpin-pemimpin UMNO tidak kelihatan begitu cemerlang. Seperti yang dijelaskan oleh Mohd. Azizuddin, rakyat pasti mempertimbangkan perkara tersebut dalam menentukan sama ada mereka mahu mengekalkan barisan kepimpinan sedia ada atau sebaliknya.

Secara peribadi, beliau berpandangan, masa yang terbaik untuk mengadakan PRU-15 adalah Januari tahun depan. Kata Mohd. Azizuddin, ketika itu, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti sudah diwartakan.

Apabila undang-undang tersebut berkuat kuasa kelak, gejala lompat parti yang mencetuskan ketidakstabilan politik di negara ini selepas PRU-14 dapat dikekang. Begitu juga dengan rang undang-undang pembiayaan dana politik yang masih belum dibentangkan di Parlimen.

Beliau menambah, PRU-15 tidak sesuai diadakan pada November atau Disember ekoran musim tengkujuh dan banjir. Selain itu, kesan positif daripada Bajet 2023 masih belum dapat dinikmati oleh rakyat.

“Saya percaya Perdana Menteri tentu mahu melihat feel good factor Bajet 2023 dalam kalangan rakyat sebelum PRU-15 agar mereka seronok untuk keluar mengundi dan memilih semula kerajaan sedia ada,” jelasnya.

Sekiranya UMNO masih berkeras mahu PRU-15 diadakan tahun ini juga, Mohd. Azizuddin percaya mereka telah mempertimbangkan semasak-masaknya segala risiko yang bakal dihadapi termasuk gagal beroleh majoriti mudah untuk kembali menjadi parti yang dominan dalam kerajaan. – MalaysiaGazette