KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada 11 September ini selepas Terengganu FC berjaya ke perlawanan akhir Piala FA.
Terengganu FC akan bertemu JDT pada 10 September di Stadium Bukit Jalil.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa itu bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya.
Dengan itu, susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang.
”Kerajaan Negeri Terengganu berharap para penyokong Terengganu FC agar dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya. Sentiasa menunjukkan akhlak dan adab yang baik sebagai rakyat Terengganu ketika menyaksikan perlawanan tersebut,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Kepada pasukan FC, beliau berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksimum dan mempersembahkan aksi yang terbaik, sekali gus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu. Insya-Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette